22/05/2022
Assalamualaikum wr wb,
Tanjak Sayyid ingin menceritakan Perihal Keris Sebagai Pakaian Orang Melayu. Supaya ianya memanfaatkan kita.
Keris adalah antara pelengkap pakaian kepada Sultan, kaum kerabat, hulubalang, panglima, orang orang dalam istana dan juga orang Melayu.
Pada seketika dahulu, orang Melayu yang tidak berKeris, diumpamakan seperti, bogel, tidak berpakaian. Kini, usaha sedang dilakukan, untuk mengembalikan ia, sebagai pakaian orang Melayu. Orang Melayu, wajib mengetahui, bahawa senjata Keris bukanlah musuh mereka, malah ianya adalah pakaian mereka. Ianya juga tidak sepatutnya dijadikan musuh dan memberi isyarat ataupun fikiran negatif kepada kaum kaum yang lain. Dalam sejarah Islam, sahabat Rasulullah yang berbilang kaum seringkali bersenjata dan mereka juga, pergi sholat di dalam Masjid, juga bersenjata. Ini memberi makna, bersenjata itu, seketika dahulu, bukanlah sesuatu yang melanggar ajaran agama Islam. Bagi bangsa Melayu, senjata yang dibawanya, ialah senjata Melayu, iaitu Keris. Keris juga harus difahami sebagai satu seni yang tinggi nilainya dan tidak menyalahi agama Islam kalau disimpan.
Namun, zaman sudah berubah.
Tiadalah kiranya kami ingin mengsyorkan untuk memakai keris ke mana mana pada zaman ini, namun ada masanya, bila ingin berbusana, kenalah tahu, bahawa, Keris itu adalah antara pakaian yang perlu ada sebagai pelengkap.
Dahulu, penjajah menghakiskan kepercayaan bahawasanya, seorang Melayu itu wajib berKeris. Pada masa itu, penjajah amat peka akan tentangan hebat dari orang Melayu yang mengangkat Keris sebagai senjata serta peniup semangat perjuangan mereka. Hakisan terhadap pentingnya Keris dalam kehidupan seorang Melayu itu perlu dilakukan supaya orang Melayu tidak akan bangkit menentang penjajah. Dengan itu, semangat cintakan agama dan bangsa juga terhakis kerana pegangan orang Melayu kuat pada agama dan bangsanya dan Keris menghembuskan angin-angin semangat yang kental dan kuat kepada kepercayaan ini.
Bila bicara Keris Melayu, ianya akan berbicara tentang agama Islam,
Insya Allah, kalau berpeluang, Tanjak Sayyid akan bicara sedikit akan perihal ini.
Wallahua'alam bisawab.