28/08/2024
TAZKIRAH TAMADUN SIRI 2813
KERAJAAN-KERAJAAN KECIL PADA ZAMAN PEMERINTAHAN BANI ABBASIYAH (Siri 1113)
Cabaran Pemerintahan Dinasti Mamluk (1250 M-1517 M):
Pemerintahan Mamluk Al-Burjiyah (1382-1517 M)-Pemerintah Keenam, Al-Muayyad Abu An-Nashir Syaikh Al-Mahmudi (1412-1421 M)
Pemberontakan Pemerintahan Garcinello@ Qara Qoyunlu
Pemerintahan Qara Qoyunlu yang dikenali Kambing Hitam Turkoman memerintah semenjak tahun 1374-1468 Masihi. Pemimpin wilayah ini seorang Parsi dari segi budaya manakala mengamalkan sistem beraja Muslim Turkoman. Wilayah kekuasan dinasti ini merangkumi Azerbaijan, Armenia, Barat Laut Iran, Timur Turki dan Timur Laut Iraq. Pemerintahan dinasti ini telah wujud lama sebelum pemerintahan Aq Qoyunlu lagi.
Golongan Qara Qoyunlu Turkoman asalnya adalah pendukung Kesultanan Jalayirid di Baghdad dan Tabriz semenjak tahun 1375. Pada ketika itu pemimpin golongan mereka memerintah wilayah Mosul. Walau bagaimanapun, tidak lama kemudian berlaku konflik yang membawa kepada pemberontakann terhadap Sultan Jalayirid Ahmad. Lantas golongan itu telah memberontak dan mengisytiharkan kemerdekaan apabila pemimpin utama mereka yang terkenal Qara Yusuf (memerintah 1407-1420 M) berjaya menguasai wilayah Tabriz.
Sejarah hubungan Qara Yusuf dengan pemerintah Dinasti Mamluk terjalin semasa serangan oleh Timur Lenk dari Dinasti Timurid mengalahkan Qara Yusuf. Akibat kekalahan itu Qara Yusuf telah mencari perlindungan dari pemerintah Dinasti Mamluk dengan menuju ke Mesir. Kedatangan beliau telah disambut oleh Syaikh Al-Mahmudi yang pada ketika itu merupakan pemimpin di Damsyik.
Tidak lama kemudian Jalayirid Ahmad turut datang ke Damsyik setelah mengalami kekalahan menentang pemerintah Dinasti Timurid. Kedatangan kedua-dua mereka telah mengundang rasa tidak senang pemimpin Dinasti Timurid. Lantas Sultan Al-Nasir F***j yang mempunyai hubungan dengan Timur Lenk telah bertindak menangkap Qara Yusuf dan Jalayirid Ahmad. Kedua-dua mereka diserahkan kepada pemimpin Timurid dan akhirnya mereka berdua dipenjarakan.
Semasa di dalam penjara, Qara Yusuf dan Jalayirid Ahmad yang bermusuhan sebelum ini mengambil sikap menjalin persahabatan dan merancang untuk kembali berkuasa. Rancangan yang dipersetujui mereka adalah dengan memberikan Azerbaijan kepada Qara Yusuf manakala Baghdad dikuasai Jalayirid Ahmad. Pada tahun 1405 Timur Lenk wafat, lalu Al-Nasir F***j bertindak membebaskan mereka berdua. Namun ada pandangan lain mengatakan mereka dibebaskan atas arahan gebenor Damsyik yang memberontak, Syaikh Al- Mahmudi.
Bersambung esok. Insha-Allah.
Ustaz Sabir
28hb. Ogos. 2024
22 Safar 1446 H
Sebahagian Rujukan : Bangkit dan Runtuhnya Dinasti Mamluk, Bangkit dan Runtuhnya Dinasti Zankiyah, Bangkit dan Runtuhnya Daulah Fatimiyyah, Bangkit dan Runtuhnya Daulah Abbasiyah, Bangkit dan Runtuhnya Daulah Al-Ayyubiyah, Salladin The Life, The Legend and the Islamic Empire, Pemerintahan Kerajaan Bani Abbasiyah, Tarikh Khulafa, Kerajaan Khalifah Islam Kegemilangan Pemerintahan Abbasiyyah, Sejarah Peradaban Islam, Ensaiklopedia Sejarah Islam, Senja Masa Keemasan, Sejarah Peradaban Islam:Dirasah Islamiyah II, History of the Arab, Dinasti-dinasti Islam, Sejarah Umat Islam dan lain-lain.
*Gambar sekadar hiasan