19/07/2021
Selamat Hari Raya Aidil Adha
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
اَلْحَمْدُ لِلّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَتُوْبُ اِلَيْهِ وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ اَنْفُسِنَا وَسَيِّئَاتِ اَعْمَالِنَا مَنْ يَهْدِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ. اَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى اَلِهِ وَاَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ اِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
Segala puji bagi Allah Rabb Pemelihara sekalian alam. al-Khaliq yang menjadikan sekalian Alam. Seluruhnya selain daripada Allah, apa yang ada di bumi, di langit dan ai antara keduanya yang nyata dan tersembunyi seluruhnya adalah ciptaanNya Al-Malik yang memiliki seluruh alam. MilikNya sempurna tanpa sebarang perkongsian. Ar-Raziq yang memberikan rezeki kepada seluruh makhluqNya. Manfaat dan mudharat di tangan kekuasaanNya. Dzat yang disembah dengan sebenarnya dan dihambakan setiap diri hanya kepadaNya. Al-Hakim yang menetapkan segala hukum dengan kebijaksanaanNya yang agung.
Selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad utusan Allah penutup sekalian nabi dan rasul. Panutan, ikutan dan pembawa petunjuk dalam perjalanan menuju Allah zahir dan batin. Juga kepada ahli keluarganya yang suci dan para sahabatnya yang membantu dalam perjuangan agama dan mereka yang mengikuti mereka dengan baik sehingga hari kiamat.
Yang saya muliakan sahabat-sahabat GTO seluruh Malaysia, wakil-wakil kawasan, ketua-ketua daerah dan barisan AJK negeri dan Pusat. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada anda semua dengan kerjasama dan sokongan anda semua menjayakan rangkaian persaudaraan kita yang semakin hari semakin kukuh dengan izin Allah. Seterusnya kepada sahabat-sahabat NGO yang bersama-sama membantu mereka-mereka yang memerlukan. Mudah-mudahan Allah menjadikan kita semua di kalangan hamba-hambaNya yang diterima di sisiNya. Tiada harapan lain bagi kita kecuali hanya supaya Allah menerima amal-amal kecil yang tidak bersungguh-sungguh ini. Kita mohon kemurahan dan keluasan rahmat Allah yang tidak bertepi mudah-mudah Allah terima amal-amal kita. Semoga kita digolong dikalangan mereka yang diberikan surat amal dengan tangan kanan.
Firman Allah di dalam Surah Al-Insyiqaq ayat 7-9 mafhumnya
“Kemudian sesiapa yang diberi buku amalannya dengan tangan kanannya, maka dia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan. Dan dia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita.”Segala kebajikan yang subur di group adalah hasil daripada pengorbanan semua untuk membangunkan kebajikan dalam diri kita. Bersempena Hari Raya Qurban ini bersama-sama kita tingkatkan lagi keimanan dan persaudaraan kita dengan berkorban. Tiada apa yang dapat kita laksanakan di dunia ini daripada kebajikan tanpa ada pengorbanan. Yang penting pengorbanan kita didasari dengan keimanan. Kerana keimanan dan keyakinan kita kepada Allah kita sanggup korbankan masa harta dan diri kita. Masa, harta dan diri kita adalah fasiliti yang Allah berikan untuk kita gunakan sebagai menzahirkan kehambaan kita kepada Allah. Gunakanlah setiap fasiliti yang Allah beri dengan sebaiknya. Ini adalah asas tawhid untuk kita faham tujuan kita hidup di dunia ini. Jika kita tidak mampu melakukan pengorbanan yang banyak, memadai kita buat walaupun sedikit namun atas dasar iman dan taqwa bukan yang lain daripada itu. Bukan kerana nama, jawatan, kuasa, dan sebagainya.
Sesungguhnya persaudaraan yang kita bina di GTO adalah nikmat yang sewajarnya kita syukuri. Dulu kita tidak saling mengenali, sebahagian kita tidak pernah terlibat dengan aktiviti kebajikan. Kini dengan nikmat persaudaraan ini kita dapat saling membantu berkasih sayang sesama umat Islam. Di dalam gerak kerja GTO dua perkara paling utama kita tumpukan adalah KEIMANAN dan PERSAUDARAAN. Tanpa iman tiada amalan akan diterima oleh Allah. Tanpa persaudaraan kita tidak akan menerima pertolongan Allah. Sesungguhnya rahmat keberkatan pertolongan Allah datang pada kesatuan kita umat Islam. Perkara ini bukan suatu yang mudah di akhir zaman ini. Kita perlu bersungguh berikan perhatian menjaga persaudaraan kita.
Firman Allah yang bermaksud:
"Berpegang teguhlah kepada tali Allah, dan janganlah kamu berpecah belah dan ingatlah kamu akan nikmat yang dikurniakan Allah kepada kamu".
Surah Ali-Imran ayat 103
“Siapa yang tidak mensyukuri nikmat yang sedikit, ia akan sukar mensyukuri nikmat yang banyak. Siapa yang tidak mahu berterima kasih pada manusia, bermakna tidak bersyukur pada Allah. Membicarakan nikmat Allah adalah bentuk kesyukuran. Tidak menyebutnya adalah bentuk kekufuran. Kesatuan adalah rahmat. Sedangkan perpecahan adalah azab.”
(Hadis Riwayat Ahmad)
Justeru memelihara keimanan dan persaudaraan adalah fokus utama dalam gerak kerja GTO. Buat kerja kebajikan dengan keyakinan yang betul kepada Allah. Serah diri kita kepada Allah. Sesungguhnya Dia-lah yang memberi rezeki kepada seluruh hamba-hambaNya. Kita hanyalah sebagai pentas menzahirkan kepermurahan Allah. Kembalikan segalaNya kepada pemiliknya. Kita tiada apa. Kita adalah hamba Allah. Kita buat semua ini untuk mencari keredhaan Allah. Mencari keampunan Allah. Perhatikan dosa-dosa kita yang banyak adakah memadai mendapat keampunan hanya dengan amal yang sedikit dan kecil ini.
“Sesungguhnya seorang mukmin (ketika) ia melihat dosa-dosanya, adalah seperti ia duduk di lereng sebuah gunung, dan ia sangat risau gunung itu akan menimpanya. Sedangkan seorang fajir (orang yang selalu berbuat dosa), ketika ia melihat dosa-dosanya adalah seperti ia melihat seekor lalat yang hinggap di batang hidungnya, kemudian ia menghalau akannya lalu terbang (ia menganggap remeh dosa).”
Hadis Riwayat Bukhari
Hubungkan persaudaraan dengan lebih ramai lagi, jangan bertangguh dalam perkara ini. Jemputlah adik beradik, saudara, sahabat handai, jiran untuk sama-sama membangunkan rangkaian persaudaraan ini. Jangan ada sesiapa di kalangan kita merasa besar diri dari lain. Kita semua adalah himpunan hamba-hamba berdosa yang mencari keampunan terhadap dosa-dosa kita. Tiada apa untuk kita patut sombongkan dan besarkan. Sesungguhnya kemuliaan kita pada memaafkan dan rendah diri.
Daripada Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah (selawat dan salam atasnya) bersabda yang bermaksud, “Sedekah tidak mengurangkan harta. Allah tidak melebihkan seseorang hamba dengan kemaafan-Nya melainkan kemuliaan dan tidaklah rendah diri seseorang itu melainkan Allah mengangkatnya."
Hadis Riwayat Muslim
Berlebih kurang di antara kita jangan ada sengketa perbalahan. Peliharalah lidah kita dan perilaku kita. Pastikan kita sentiasa memuliakan semua sahabat-sahabat kita di GTO. Kejayaan kita bukanlah mempunyai dana yang besar. Bukanlah dengan membuat bantuan yang banyak. Bukan dengan program berterusan di sana sini. Pujian diterima tanpa henti. Semua itu adalah ujian ke atas diri kita. Tetapi kejayaan kita di GTO bila kita berjaya menjaga hubungan yang baik antara kita. Menjaga persaudaraan kita. Silap tersalah lemah tidak teratur itu perkara yang harus berlaku tetapi kita sama-sama bantu untuk selesaikan. Sentiasa bercakap “Apa boleh saya tolong?
Biar pun kita tidak banyak dana, tidak terkenal dan terkadang dipandang lekeh oleh sebahagian orang itu tidak mengapa. Ya memang kami lekeh. Kita bukan cari kemasyhuran dan pujian. Selama mana kita berjaya memerlihara persaudaraan antara kita maka kita sudah berjaya berada di jalan kebajikan. Maka terus istiqamah di atas jalan ini. Kita perlu terus berjalan di atas kebenaran bukan terus membesarkan diri. Kita sentiasa perlu insafi siapa diri kita, nikmat hidayah tawfiq yang Allah berikan pada kita untuk melaksanakan kebajikan pada jalanNya. Sentiasa kongsikan ruang untuk orang lain turut sama bersaudara bersama kita. Jangan sekadar buat kerja kebajikan untuk kumpulan kita negeri kita atau apa-apa yang berbentuk ekslusif. Tanamkan jiwa dakwah seperti para rasul utusan Allah mereka sentiasa optimis memberikan ruang dan peluang untuk manusia kembali pada jalan Allah.
Jalan ini sememangnya bukan jalan kemegahan dan kesombongan. Jalan ini adalah jalan kehambaan dan kerendahan. Maka sesuaikanlah diri kita dengan jalan ini. Jalan hidup penuh kesombongan, riyak, angkuh telah lama kita terjebak ke dalamnya. Sudah masanya kita benar-benar bertaubat dari kejahatan-kejahatan diri kita. Segala keinginan-keinginan yang lain kita tinggalkanlah. Fokus pada tujuan yang satu iaitu mencapai keredhaan Allah SWT. Kita tidak punya baki masa yang banyak. Dalam beberapa tahun terakhir kehidupan ini lakukan sesuatu yang diharap dapat mengubah segala salah silap kita dalam sepanjang masa kehidupan kita yang lalu.
Alhamdulilah pada bulan yang mulia ini begitu banyak sekali sumbangan yang dihulurkan di group-group GTO pelbagai negeri. Semoga Allah berikan keberkatan rezeki dan umur yang berkat kepada semua sahabat GTO di seluruh Malaysia dan juga kepada para penyumbang. Semoga kekal istiqamah kita berkongsi rezeki menunaikan perintah Allah supaya kita berikan sebahagian dari rezeki kita.
…dan mereka memberi infak sebahagian daripada apa yang kami rezekikan kepada mereka.”
Surah Al-Baqarah ayat 3
InsyaAllah dengan kehendak Allah kita akan teruskan membina persaudaraan ini ke setiap negeri, daerah dan kawasan di seluruh Malaysia, sehingga tidak ada satu kes kesusahan yang sampai kepada kita melainkan kita dapat salurkan kepada saudara kita yang sedia untuk menolong.
Perumpamaan golongan yang beriman pada sifat berkasih sayang, saling merahmati, dan saling membantu adalah seperti suatu badan. Apabila ada anggota badan yang sakit, ia menyebabkan keseluruhan tubuh badan tidak dapat tidur dan juga menjadi demam.
Riwayat al-Bukhari
Akhir kata teruskan membina persaudaraan semampu yang boleh. Segerakanlah jangan bertangguh. Sesungguhnya kita semua sedang beramal dengan banyak ayat al-Quran dan al-Hadith. Semoga pada masa akan datang Allah bukakan bagi kita peluang lebih luas untuk mendapat keampunan dan kasih sayang pada jalan Allah.
Orang yang berusaha menyempurnakan keperluan wanita yang ketiadaan suami dan orang miskin adalah seperti orang yang berjihad di jalan Allah. Seumpama orang yang beribadat malam tidak berhenti-henti dan berpuasa berterusan tidak berbuka.
Muttafaqun ‘Alaih
Saya dengan rendah hati memohon maaf segala salah silap saya selama mengendalikan urusan GTO Malaysia. Sesungguhnya tiada niat untuk melukakan sesiapa tetapi lantaran kelemahan diri sendiri, saya tidak terlepas dari melakukan kesalahan. Saya memohon semua sahabat GTO mendoakan saya yang hina ini dan seluruh ahli keluarga saya supaya beroleh rahmat dan keampunan daripada Allah.
Selamat Hari Raya Aidil Adha
تقبل الله منا ومنكم صالح الأعمال، وكل عام وأنتم بخير.
Merakyatkan kebajikan
Keimanan dan Persaudaraan
Ahmad Rais Bin Ismail
Khadam GTO Malaysia
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Ummah
Darussalam Malaysia