17/03/2022
Qanaah
Hakikat Kekayaan
Para hukama dan filasuf mencari apakah hakikat sebenar kekayaan.
Dengan susah payah akhirnya mereka sampai kepada kesimpulan:
"Orang yang paling kaya ialah orang yang paling sedikit keperluan dirinya."
Penentu kepada kekayaan dan kemiskinan seseorang adalah pada hajat dan keperluannya.
Semakin tinggi keperluan dirinya maka semakin miskinlah dia dan begitulah sebaliknya.
Maka sebab itu yang paling kaya ialah Allah SWT kerana Dia tidak berhajat kepada apa-apa pun.
Manakala raja-raja dan jutawan ialah orang yang paling miskin kerana hajat dan keperluan mereka sangat banyak.
Di dunia diikat dengan pelbagai aturan, dibelenggu dengan pelbagai kemahuan dan di akhirat dibongkar segala yang besar dan kecil.
Kaya hanya pada pandangan manusia.
Maka jika ingin menjadi kaya, sekarang kita boleh menjadi kaya.
Mulakan dengan merasa cukup dengan apa yang ada, tidak membandingkan dengan apa yang dimiliki dengan orang lain dan hadapkan jiwa kepada ketaatan kepada Tuhan.
Tenangkan jiwa menghadapi kehidupan.
Begitu juga jika ingin menjadi miskin, sekarang kita boleh menjadi miskin.
Dengan tidak merasa cukup dengan apa yang dimiliki, sentiasa membandingkan dengan nikmat yang dimiliki orang dan sentiasa menuruti kehendak jiwa.
Kita akan menjadi miskin walaupun memiliki banyak harta.
Maka kekayaan yang hakiki ialah dengan merasa cukup dengan apa yang ada, tetapi masih sudi menerima harta kerana ia adalah nikmat pemberian Tuhan.
Kegunaan harta bagi kita adalah untuk menyokong amal, ibadah dan iman serta membina keteguhan hati dalam beribadah kepada-Nya.
Hakikat kaya disimpulkan oleh Nabi SAW:
"Barangsiapa dalam kalian yang berpagian dalam keadaan sejahtera di rumahnya, sihat tubuh badannya dan memiliki makanan hariannya; seolah-olah dia telah memiliki dunia."
- Tirmizi 2436
Merasa cukuplah, engkau akan kaya!