18/09/2026
Renungan Tahun Pertama.
Tahun pertama ini banyak mengajar saya untuk berani mencuba, berani bermula dan percaya bahawa langkah kecil juga boleh membawa kepada sesuatu yang besar.
Saya bersyukur kerana diberi peluang mengikuti kursus 3 tahun “Usahanita ke Arah Pasaran Lestari”, yang dianjurkan oleh Axiata Foundation dan dilaksanakan oleh Puan Irene Mositol, CEO Dumowongi.
Melalui program ini, saya bukan sahaja mendapat ilmu, tetapi juga diberi peluang dan dana untuk menghasilkan produk serta mula membina perniagaan saya.
Dengan tunjuk ajar Puan Vallery Yong, pengasas Oupus Organics, saya belajar menghasilkan produk dengan lebih baik. Dengan sokongan Puan Irene Mositol, saya juga berjaya menguruskan lesen perniagaan dan akaun bank untuk Ephaa Enterprise.
Daripada kearifan orang tua dahulu, saya mula mengolah 7 herba menjadi sesuatu yang lebih praktikal dan mudah dibawa ke mana-mana, terutama untuk mereka yang bekerja atau berhijrah ke bandar.
Dari situlah lahirnya Handmade Ephaa – Aki Nabalu 7Herbs Oil. Selepas mendapat pelbagai maklum balas dan testimoni daripada pengguna, saya mendapat idea untuk mengembangkan rangkaian kepada Aki Nabalu 7Herbs Oil, Soap & Foot Soak.Produk Untuk Membantu melegakan angin dalam badan,melegakan selesema,halang nyamuk dan melegakan migrain.
Saya juga memberanikan diri menyertai Pertandingan Inovasi Kearifan Borneo (PIKB) dan CGMP Peringkat Zon. Pada awalnya, saya sebenarnya agak takut dan kurang yakin kerana ini merupakan pengalaman pertama saya menyertai pertandingan.
Tetapi saya belajar untuk melawan rasa takut itu dan mencuba. Syukur kepada Tuhan, kedua-dua penyertaan saya mendapat pingat emas dan saya diberi peluang melangkah ke pertandingan akhir di UMS.
Bagi saya, pingat itu bukan sekadar sebuah kemenangan. Ia menjadi bukti bahawa seorang yang bermula dengan serba sederhana, jika diberi peluang, dibimbing dan tidak mudah berputus asa, juga mampu pergi lebih jauh.
Tahun pertama ini bukan sekadar tentang produk dan perniagaan. Ia adalah perjalanan untuk belajar, jatuh bangun, menerima teguran, memperbaiki diri dan terus percaya pada impian sendiri.
Masih banyak yang perlu saya pelajari dan perbaiki, terutama dari segi pembungkusan dan ruang pemprosesan produk. Saya tahu perjalanan ini masih panjang.
Namun saya percaya, perjalanan yang besar juga bermula dengan satu langkah kecil.
Terima kasih yang tidak terhingga kepada Axiata Foundation(Pendana), Puan Irene Mositol(Pengasas Dumowongi)dan Puan Vallery Yong (Pengasas Oupus Organics) Serta pengajar² atas peluang, ilmu, bimbingan dan kepercayaan yang diberikan kepada saya.
Terima kasih juga kepada suami, anak-anak dan keluarga yang sentiasa menyokong saya dari belakang. Walaupun tidak selalu kelihatan dalam perjalanan ini, sokongan dan doa merekalah yang membuat saya terus kuat untuk melangkah.🫶
Dan kepada diri saya sendiri, terima kasih kerana tidak menyerah.
Semoga saya terus diberi kekuatan, terus belajar dan terus berusaha untuk membawa Handmade Ephaa dan Aki Nabalu 7Herbs lebih jauh.
Ini baru tahun pertama. Perjalanan saya masih panjang. Semoga suatu hari nanti, usaha kecil ini menjadi sesuatu yang boleh saya banggakan dan memberi manfaat kepada orang lain.
Terima kasih dan syukur untuk tahun pertama ini. 🙏