27/08/2026
ARTIKEL 21
KENAPAKAH MASIH ADA PEMIMPIN DAN PEGAWAI KANAN KERAJAAN TERPALIT RASUAH SEDANGKAN SERING TERPAPAR PEMIMPIN YANG DISABITKAN HUKUMAN?
Pengenalan
Ada satu persoalan besar yang wajar kita tanyakan. Jika hukuman terhadap pemimpin yang melakukan rasuah sudah begitu banyak dipaparkan kepada umum, mengapa masih ada pemimpin, pegawai kanan kerajaan dan mereka yang memegang amanah awam sanggup mengambil risiko terpalit dengan rasuah? Bukankah mereka melihat sendiri bagaimana seseorang yang pernah mempunyai kuasa, kedudukan dan pengaruh akhirnya boleh berdepan pertuduhan, perbicaraan, sabitan, hukuman penjara, denda dan kehilangan maruah? Persoalan ini bukan semata-mata mengenai kelemahan undang-undang. Ia menyentuh sesuatu yang jauh lebih mendalam: Apakah yang sebenarnya berlaku dalam jiwa manusia apabila kuasa, wang dan peluang berada di hadapannya?
Rasuah Bukan Berlaku Kerana Tiada Hukuman
Kita sering mendengar bahawa hukuman yang berat mampu mencegah perbuatan jenayah tersebut. Namun realitinya, hukuman semata-mata tidak semestinya mencukupi. Malaysia sendiri mempunyai rekod penguatkuasaan yang menunjukkan bahawa kes rasuah terus dibawa ke mahkamah. Antara tempoh 2024 hingga April 2026, SPRM dilaporkan telah merekodkan 1,095 pertuduhan dan 563 sabitan daripada 2,633 kertas siasatan yang dibuka sejak 2024. Daripada jumlah itu, 583 kertas siasatan melibatkan kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam. Malah, pada awal 2026 dilaporkan bahawa 36 pegawai awam daripada Kump**an Pengurusan Tertinggi (JUSA C dan ke atas) telah ditahan kerana rasuah sejak 2021, dengan 20 daripadanya didakwa dan lapan kes telah menghasilkan sabitan. Hal ini menunjukkan satu perkara yang penting: Penguatkuasaan ada. Hukuman ada. Tetapi godaan untuk menyalahgunakan kuasa juga masih ada. Jadi, apakah yang kita gagal cegah?
Apabila Kuasa Mengalahkan Takut
Seseorang mungkin mengetahui bahawa rasuah ialah jenayah. Dia mungkin mengetahui bahawa orang lain telah ditangkap. Dia mungkin mengetahui bahawa ada pemimpin yang akhirnya dipenjarakan. Dia mungkin juga mengetahui bahawa kekayaan yang diperoleh secara haram boleh dirampas. Akan tetapi apabila seseorang mula merasakan: “Aku tidak akan tertangkap.” Di situlah masalah bermula. Amalan perbuatan rasuah berkembang apabila pelaku percaya bahawa kedudukannya mampu melindungi dirinya. Mungkin kerana mempunyai rangkaian politik. Mungkin kerana mempunyai orang bawahan yang sanggup menurut arahan. Mungkin kerana menganggap proses penguatkuasaan boleh dielakkan. Mungkin kerana percaya bahawa kekayaan yang diperoleh tidak akan dapat dikesan. Atau yang lebih membimbangkan, mungkin kerana dia merasakan kuasa yang dimilikinya menjadikan dirinya berbeza daripada orang lain. Inilah penyakit sebenar penyalahgunaan kuasa.
Bukan Semua Perasuah Itu Orang Yang Tidak Tahu Hukum
Hal ini satu hakikat yang perlu kita berani akui. Ramai yang terlibat dalam rasuah bukanlah orang yang tidak berpendidikan. Bukan semuanya miskin. Bukan semuanya tidak memahami undang-undang. Bukan semuanya tidak pernah mendengar khutbah, ceramah atau kempen antirasuah. Sebahagiannya ialah manusia yang mempunyai pendidikan tinggi, pengalaman luas, kedudukan yang baik dan pengetahuan tentang sistem kerajaan. Jadi persoalannya bukan lagi: “Adakah mereka tahu rasuah itu salah?”
Sebaliknya: “Mengapa mereka tetap melakukannya walaupun tahu ia salah?” Jawapannya mungkin terletak pada perubahan nilai. Apabila amanah mula dilihat sebagai peluang. Apabila kuasa mula dilihat sebagai keistimewaan. Apabila jawatan mula dilihat sebagai akses kepada kekayaan. Apabila hubungan mula lebih penting daripada peraturan. Apabila seseorang mula memisahkan antara “wang negara” dengan “wang yang boleh aku ambil sedikit.”
Pada ketika itu, rasuah tidak lagi kelihatan seperti jenayah besar pada pandangan pelaku. Ia mungkin bermula dengan sesuatu yang kecil seperti hadiah., layanan istimewa, komisen dan kemudian berkembang menjadi jaringan.
Kita Terlalu Fokus Kepada Tangkapan, Tetapi Kurang Bertanya: Bagaimana Ia Boleh Berlaku?
Hal ini persoalan yang lebih kritikal. Setiap kali seseorang ditangkap, masyarakat bersorak: “Bagus! SPRM tangkap lagi.” Tetapi selepas itu kita patut bertanya: Bagaimana seseorang yang mempunyai kuasa begitu besar boleh menyalahgunakan kuasa untuk tempoh yang lama tanpa dikesan? Siapa yang meluluskan? Siapa yang menyemak? Siapa yang menandatangani? Siapa yang mengetahui tetapi memilih untuk berdiam diri? Siapa yang mendapat manfaat?
Apa yang paling penting: Apakah kelemahan sistem yang membenarkan perkara itu berlaku? Jika kita hanya menghukum individu tetapi tidak membaiki sistem, kita mungkin akan menangkap seorang lagi individu beberapa tahun kemudian kerana lubang yang sama masih terbuka.
Rasuah Tumbuh Dalam Sistem Yang Terlalu Mudah Dimanip**asi
Sebab itu usaha membanteras jenayah rasuah tidak boleh hanya bergantung kepada tangkapan semata-mata. Kita memerlukan sistem yang menjadikan rasuah sukar dilakukan, sukar disembunyikan dan mudah dikesan. Ketelusan perolehan kerajaan perlu diperkuat. Konflik kepentingan perlu didedahkan. Pemilikan benefisial perlu dapat dikenal pasti. Aset dan gaya hidup yang luar biasa perlu diperiksa secara wajar. Keputusan kerajaan yang melibatkan nilai besar perlu mempunyai jejak dokumentasi yang jelas. Pegawai awam yang melaporkan salah laku jenayah perlu mendapat perlindungan sebenar dan selamat.
Transparency International (TI) Malaysia sendiri menyatakan bahawa Malaysia menunjukkan peningkatan dalam Indeks Persepsi Rasuah 2025, tetapi mengingatkan bahawa kemajuan itu belum boleh dianggap sebagai titik perubahan muktamad. Organisasi itu turut menekankan risiko struktur seperti pembiayaan politik yang tidak telus serta keperluan memperkukuh ketelusan dalam perolehan kerajaan.
Jangan Hanya “Follow The Money” Tetapi “Follow The Power”
Selama ini kita sering menggunakan ungkapan: “Follow the money.” Tetapi dalam kes rasuah melibatkan kuasa politik dan pentadbiran, kita juga perlu: “Follow the power.” Siapa yang mempunyai kuasa membuat keputusan? Siapa yang boleh meluluskan? Siapa yang boleh memberi projek? Siapa yang boleh mengubah syarat? Siapa yang boleh mempengaruhi pelantikan? Siapa yang mempunyai akses kepada maklumat? Ssiapa yang mendapat keuntungan selepas keputusan itu dibuat?
Kadang-kadang wang tidak bergerak terus kepada pemilik kuasa. Ia mungkin bergerak melalui syarikat. Melalui orang tengah. Melalui proksi. Melalui akaun atau pemilikan yang tidak mudah dilihat. Sebab itu memerangi rasuah memerlukan lebih daripada sekadar mencari wang tunai. Kita perlu mencari hubungan antara kuasa, keputusan, kepentingan dan kekayaan.
Kita Juga Perlu Membezakan Pertuduhan Dan Sabitan
Dalam Usaha Membanteras Rasuah, Satu Prinsip Tidak Boleh Dikorbankan: Seseorang Yang Dituduh Belum Tentu Bersalah. Pertuduhan Perlu Dibuktikan Di Mahkamah. Ada Kes Yang Berakhir Dengan Sabitan. Ada P**a Yang Berakhir Dengan Pembebasan. Sebagai Contoh, Pada Julai 2026, Mahkamah Persekutuan Mengekalkan Pembebasan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman Selepas Memutuskan Bahawa Pendakwaan Gagal Menunjukkan Kesilapan Yang Boleh Dirayu Dalam Keputusan Mahkamah Rayuan.
Begitu Juga, Kes Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad Berakhir Dengan Pembebasan Daripada Tiga Pertuduhan Bersubahat Dalam Kes Rasuah RM2.8 Juta Selepas Mahkamah Mendapati Pembelaan Berjaya Menimbulkan Keraguan Munasabah.
Hal Ini Penting. Perjuangan Antirasuah Tidak Boleh Berubah Menjadi Budaya Menghukum Seseorang Melalui Persepsi Sebelum Mahkamah Membuat Keputusan. Kita Mahu Penguatkuasaan Yang Tegas, Tetapi Pada Masa Yang Sama Kita Mahu Keadilan Yang Adil.
Hukuman Terhadap Pemimpin Sepatutnya Menjadi Amaran, Bukan Sekadar Berita
Apabila seorang pemimpin besar disabitkan, masyarakat sepatutnya mengambil pengajaran. Bukan sekadar: “Dia dipenjara.” Tetapi: “Mengapa dia sampai ke tahap itu?” Apa yang lebih penting: “Bagaimana kita memastikan generasi pemimpin selepasnya tidak mengulangi perkara yang sama?”
Kes-kes besar membuktikan bahawa jawatan tertinggi sekalipun bukan jaminan seseorang akan terlepas daripada proses undang-undang. Pada 2025, bekas Perdana Menteri Najib Razak disabitkan dalam kes berkaitan 1MDB, selepas mahkamah mendapati beliau bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram. Pendakwaan sendiri menekankan keperluan hukuman yang mempunyai kesan pencegahan yang kuat.
Pada Februari 2026 p**a, Mahkamah Persekutuan mengembalikan sabitan terhadap bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan Pengerusi FELDA, Mohd Isa Abdul Samad, atas sembilan pertuduhan rasuah; pada Jun 2026, permohonan semakannya ditolak dan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta kekal.
Kes-kes seperti ini sepatutnya menghantar mesej yang jelas: Jawatan tinggi bukan tiket kebal di sisi undang-undang.
Masalah Sebenar Mungkin Bukan Kelemahan Hukuman, Tetapi Kelemahan Jiwa
Kita boleh memperketatkan undang-undang. Kita boleh menambah hukuman. Kita boleh memperbanyakkan audit. Kita boleh memasang kamera tersembunyi. Kita boleh mendigitalkan proses. Kita boleh menubuhkan Unit Integriti. Semua itu penting. Akan tetapi pada akhirnya, masih ada satu persoalan: Siapa yang menjaga orang yang menjaga amanah?
Hal ini kerana sistem yang paling baik sekalipun boleh dimanip**asi oleh manusia yang mempunyai niat jahat. Sebab itu pendidikan integriti tidak boleh bermula ketika seseorang sudah menjadi menteri, ketua jabatan atau pegawai kanan. Ia mesti bermula jauh lebih awal. Kita mesti membentuk pemimpin yang memahami bahawa jawatan ialah amanah, bukan harta pusaka. Kuasa ialah tanggungjawab, bukan lesen. Peruntukan kerajaan ialah wang rakyat, bukan wang sesiapa yang mempunyai kuasa menguruskannya.
Jangan Tunggu Sehingga Mereka Ditangkap
Hal inilah perkara yang paling penting. Kejayaan membanteras rasuah bukan apabila kita berjaya menangkap seramai mungkin perasuah. Kejayaan sebenar ialah apabila seseorang yang mempunyai peluang untuk mengambil rasuah memilih untuk tidak mengambilnya. Hal ini kerana dia takut kepada undang-undang. Dia takut kepada kehilangan maruah. Dia takut kepada kehancuran keluarganya. Dia takut kepada kehilangan kepercayaan rakyat.
Apa yang lebih penting dan tinggi daripada semua itu: Dia takut kepada Allah SWT dan pertanggungjawaban di akhirat. Jika seseorang hanya takut apabila SPRM datang, maka integritinya masih rapuh. Akan tetapi jika dia menolak rasuah walaupun tiada siapa melihat, di situlah lahirnya integriti sebenar.
Kesimp**an
Kita sering bertanya: “Mengapa masih ada perasuah sedangkan ramai sudah dihukum?” Mungkin soalan yang lebih tepat ialah: “Mengapa seseorang yang melihat orang lain dihukum masih percaya bahawa dia boleh terlepas?” Di situlah kita perlu mencari jawapannya. Mungkin kerana dia terlalu yakin dengan kuasanya. Mungkin kerana dia dikelilingi manusia yang sentiasa berkata “ya”. Mungkin kerana sistem kawalan terlalu lemah. Mungkin kerana budaya membodek telah menggantikan keberanian menegur. Mungkin kerana kekayaan yang luar biasa tidak pernah dipersoalkan. Atau mungkin kerana kita masih membina budaya antirasuah yang lebih banyak menekankan hukuman selepas jenayah, berbanding membina sistem dan nilai yang menghalang jenayah daripada berlaku. Maka mesej kepada setiap pemimpin dan pegawai kanan kerajaan haruslah jelas: Jangan fikir, “Bolehkah aku ambil rasuah tanpa ditangkap?” Tukarkan soalan itu kepada: “Sanggupkah aku mengkhianati amanah rakyat walaupun aku tahu tiada siapa mungkin mengetahuinya?” Sejarah telah membuktikan bahawa kuasa boleh hilang. Jawatan boleh berakhir. Harta boleh dirampas. Nama boleh tercemar. Seseorang yang pernah berdiri di tempat paling tinggi boleh, akhirnya berdiri sebagai seorang yang disabitkan kesalahan di hadapan hakim. Rakyat tidak memerlukan pemimpin yang hanya takut kepada hukuman. Rakyat memerlukan pemimpin yang mempunyai integriti sehingga tidak sanggup melakukan rasuah walaupun peluang terbuka luas. Itulah ukuran sebenar seorang pemimpin. Bukan berapa tinggi kedudukannya, tetapi sejauh mana dia mampu menjaga amanah ketika tiada siapa sedang melihat.
Oleh:
Datuk Mohamad Fauzi Husin
Presiden, Pertubuhan Integriti Dan Antirasuah Malaysia (INTRAS)
Mantan Timbalan Pesuruhjaya SPRM