23/04/2025
Taobao Malaysia akan lancar antara muka Bahasa Melayu pada Jun
KUALA LUMPUR: Platform e-dagang Taobao Malaysia merancang untuk melancarkan antara muka Bahasa Malaysia menjelang Jun 2025.
Dalam satu kenyataan hari ini, Taobao Malaysia menyatakan bahawa kemas kini ini lebih mencerminkan keutamaan bahasa tempatan dan menyokong permintaan yang semakin meningkat bagi pembelian rentas sempadan dalam kalangan pengguna Malaysia.
Kenyataan itu menyebut terdapat "lonjakan populariti global" aplikasi Taobao, yang baru-baru ini menjadi aplikasi kedua paling banyak dimuat turun di Amerika Syarikat, Kanada dan United Kingdom, selain menduduki tempat pertama di Perancis.
"Di Malaysia, setakat 16 April 2025, Taobao juga menjadi aplikasi kedua paling banyak dimuat turun dalam carta aplikasi beli-belah iOS β menunjukkan minat dan kepercayaan yang kukuh terhadap platform ini," kata syarikat itu.
Komitmen terhadap Penyesuaian Tempatan
Ketua Negara Taobao Malaysia, Jess Lew, berkata pilihan bahasa Melayu adalah sebahagian daripada usaha penyesuaian tempatan platform tersebut.
"(Ia) mengukuhkan komitmen platform kami untuk menyediakan setiap pengguna Malaysia dengan pengalaman membeli-belah yang lebih mudah, lancar dan bebas kerisauan," katanya.
Taobao Malaysia memperkenalkan antara muka Bahasa Inggeris pada September 2024, yang dilengkapi terjemahan automatik berkuasa kecerdasan buatan (AI) dan sokongan pelanggan dwibahasa dalam Bahasa Inggeris dan Cina, menurut syarikat itu.
"Dengan penerangan produk dalam Bahasa Inggeris, harga yang dipaparkan dalam ringgit dan antara muka yang dipermudahkan, pengguna Malaysia kini boleh melayari dan membeli-belah dengan lebih mudah berbanding sebelum ini," kata Taobao Malaysia.
Pelbagai Pilihan Pembayaran & Penjejakan
Taobao Malaysia menyatakan pilihan pembayaran termasuk kad debit dan kredit, perbankan dalam talian, e-dompet serta pelan ansuran. Penjejakan pesanan boleh dilakukan terus dalam aplikasi bagi memastikan ketelusan.
"Aplikasi Taobao boleh dimuat turun secara percuma di Apple App Store dan Google Play Store," katanya.
Pengguna boleh mengikuti Taobao Malaysia di Facebook, Instagram, TikTok dan X, atau hanya log masuk ke aplikasi untuk meneroka lebih banyak produk. β Bernama