25/09/2022
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum semua sahabat.
Hari ini CA nak bercerita sedikit tentang diri CA.
Nama sebenar CA adalah Rashidah. Ayu itu adalah nama panggilan dalam keluarga sejak kecil lagi. Memang lebih selesa dipanggil dengan nama Ayu. CA itu adalah singkatan kepada Cik Ayu.
CA berusia 41 tahun dan seorang surirumah sepenuh masa. Dikurniakan 10 orang cahaya mata. 3 orang anak arwah isteri pertama suami, dan tujuh orang anak sendiri. CA tinggal di belakang rumah mak, di sebuah perkampungan FELDA di Johor Bahru.
CA juga seorang pereka grafik bebas. CA turut memberi perkhidmatan sebagai Pengurus Media Sosial serta penulis upahan. Kini tambah satu lagi iaitu pelukis doodle.
KENAPA CA MENULIS?
Minat menulis sudah ada sejak usia belasan tahun. Namun, minat CA yang lebih kepada dunia rekaan seni grafik membuat penulisan CA terhenti. Selepas hampir sembilan tahun menuntut ilmu dan mencari pengalaman di Kuala Lumpur, pada usia dua puluh satu tahun, CA kembali ke pangkuan keluarga.
Rasa sunyi kerana jauh dari teman-teman yang rapat membuatkan CA mula menulis semula untuk mengisi masa.
CA mula menaip novel dari kisah semasa CA di perantauan. Gurau senda, s**a duka, jatuh bangun dan pahit manis hidup berjauhan dari keluarga CA simpan dalam penulisan novel. Namun kebanyakan penulisan CA hilang kerana disket rosak.
Pada usia dua puluh dua tahun, CA memulakan perniagaan sendiri dan kemudian bertemu jodoh dengan partner bisnes. Kami berkahwin pada tahun 2004. Aktiviti penulisan terhenti kerana sibuk menguruskan hal keluarga yang semakin membesar dan perniagaan yang semakin berkembang maju.
Tahun 2009, CA mula menjinakkan diri dalam dunia Blog. Minat menulis bercambah semula apabila mula bergaul dengan golongan yang sama minat. Namun tidak banyak masa dapat dihabiskan untuk menulis.
Kemudian, perniagaan CA dan suami diuji. Banyak perkara yang CA proses dan terjemah. Kebanyakannya menjadi titik tolak kepada cara CA memahami dan memandang ujian yang Allah beri.
Dari pengalaman-pengalaman yang dilalui, CA bertekad mahu teruskan penulisan kerana CA rasa ada banyak yang mahu CA kongsikan. Inilah antara sebab kuat CA kini mengambil keputusan untuk serius menulis.
NAK TULIS PASAL APA?
Minat CA lebih kepada menulis novel dan nota-nota pendek yang berkait dengan kehidupan dan Islam. Islam itu sebenarnya adalah cara hidup. Namun, melihat betapa banyaknya salah faham dalam hukum hakam dan bebasnya cara berfikir di kalangan umat Islam di Malaysia, membuatkan CA terasa seperti satu kewajipan untuk menyampaikan dengan cara yang CA mampu.
MANFAAT YANG DIHARAPKAN DARIPADA MENULIS
Pertama sekali bila menulis, ia lebih kepada mengingatkan diri sendiri. Agar setiap ilmu yang CA faham dan pelajari, tidak mudah hilang. Agar ia semakin kuat tersemat di hati dan diamalkan untuk kebaikan hidup dunia akhirat. Agar anak-anak ada sesuatu yang CA tinggalkan. Buat pembaca lain, sesungguhnya hanya Allah yang menentukan siapa yang akan mendapat manfaat dari penulisan CA.
KENANGAN PAHIT MANIS DALAM MENULIS
Pahitnya datang bila CA tak dapat konsisten dalam menyiapkan manuskrip. Novel yang CA usahakan sejak bujang dan terbiar lama, baru saja CA dapat sambung semula tahun lepas. Namun masih lagi tertangguh. Itu sangat pahit kerana kadangkala hampir berputus asa. Kesibukan dan tanggungjawab kepada keluarga pasti lebih utama. Namun CA masih menyimpan harapan ia akan terbit juga dalam masa terdekat, insya-Allah. Doakan ya!
Manisnya apabila CA selalu mendapat sokongan dari rakan-rakan atas talian mahupun luar talian. Ada yang memuji. Ada yang beri galakkan CA tulis Novel bila CA kongsikan penulisan di Facebook. Ada yang kata, jika novel keluar, nak beli. Ada yang akan mesej bla lama CA tidak menulis di Facebook. Rindu membaca tulisan CA, katanya. Kata-kata begitu membuatkan CA semakin bersemangat untuk menulis.
Lalu CA cuba ambil peluang dalam beberapa projek antologi. Antologi pertama yang CA sertai adalah sebagai alumni Sekolah Penulisan Ramadan dengan buku berjudul Syurga Milik Siapa Yang Mahu.
Kemudian apabila menyertai Spanner And Mascara, rupanya ia adalah satu langkah untuk memulakan beribu langkah lagi ke hadapan dengan peluang yang tidak pernah CA jangkakan. Sudah 2 buku Antologi yang terbit dan salah satunya CA adalah penyelaras. Ada tiga lagi buku antologi yang sedang dalam proses penerbitan. Buku Doodle pertama CA bergabung dengan UstazCahaya juga akan terbit dalam masa terdekat.
Ternyata sabar itu nikmatnya tidak terhingga.