09/05/2026
PETIKAN DARI EBOOK " RAJA LUBUK TEMENGGOR "
PROLOG
Suara di sebalik Kegelapan
Bahagian 1
Ada rahsia yang lebih baik dibiarkan terkubur sahaja daripada pengetahuan manusia.
Bukan kerana ia palsu, tetapi kerana kebenarannya mengandungi kegelapan yang terlalu pekat untuk dilihat dengan mata kasar, mahupun dengan mata hati. Bukan kerana ia tidak penting, tetapi kerana kepentingannya akan menjadikan dunia yang luas ini akan dilihat sebagai sebuah tempat yang lebih sempit, lebih mencekik, tempat di mana setiap tasik menyimpan mulut yang terbuka, setiap kedalaman air seperti menanti untuk menelan sesiapa sahaja yang masuk ke dalamnya. Ada misteri yang lebih baik dibiarkan tenggelam dan dilupakan di dalam fail berwarna merah, dikunci dalam kabinet besi yang tersembunyi di sudut setor arkib polis yang tidak pernah dikunjungi oleh mata awam, terlindung di dalam kegelapan yang disengajakan, dilupakan dalam kepupusan yang dirancang.
Tetapi misteri, tidak seperti bangkai yang membusuk menjadi tanah, ia tetap tidak mahu kekal dilupakan. Ia meresap. Ia mencari celah. Ia menunggu saat yang tepat untuk bangkit semula, seperti mayat yang terapung ke permukaan tasik setelah terlalu lama tenggelam di dalam pekat air.
________________________________________
Petang November itu, langit Kuala Lumpur menangis tanpa sebarang tanda untuk berhenti.
Hujan turun mencurah-curah ke atas bumbung kaca Old Town White Coffee di Bangsar Village, bunyi hentamannya bagaikan bisikan ribuan tangisan yang meratap dalam cakerawala mendung, tidak pernah berhenti, tidak pernah reda, menghitung waktu dengan dentingan yang membuatkan jantung berasa lebih perlahan daripada yang sepatutnya. Di sekeliling, kehidupan petang Jumaat yang semakin diperlahankan oleh hujan lebat itu masih terus mengalir seperti sungai yang mengalir malas ke muara, menunggu saat saat bertemu dengan kebebasan laut. Ada pasangan muda yang sedang ketawa riang di suatu sudut, berkongsi waffle yang terlalu manis bersama sama, sambil bertukar-tukar suapan mesra. Beberapa pelajar universiti p**a pada suatu sudut yang lain, kelihatan membongkok di hadapan skrin yang menyala biru-putih, wajah mereka tegang, mungkin tertekan dalam menghadapi tarikh akhir yang mengintai dari kalendar akademik yang sudah hampir sampai ke penghujung semester. Di sebelah kiriku p**a ada seorang yang kelihatan seperti pekerja pejabat, sedang mengambil masa menghirup kopi panasnya yang mengepulkan wap ke udara, barangkali cuba untuk melepaskan keletihan seharian bekerja melalui kehangatan palsu minuman yang berperisa karamel itu.
Dunia pada petang Jumaat itu, adalah seperti hari hari biasa lainnya. Sebuah dunia yang kelihatan selamat. Sebuah dunia yang tidak mengetahui atau mungkin tidak mahu mengetahui tentang apakah yang ada diluar batas kewarasan manusiawi yang ada terselindung dibalik bayang bayang malam, sebagaimana yang aku sering saksikan dalam duniaku.
Aku duduk di sudut paling hujung kopitiam itu, membelakangi dinding, menghadap pintu masuk dengan posisi yang dipilih dengan penuh strategik, supaya memudahkan aku untuk meninjau keseluruhan ruangan daripada pintu masuk utama hinggalah ke pintu ke bahagaian belakangnya. Jari-jariku mengelus permukaan cawan kertas yang sudah mulai sejuk, di dalamnya terkandung bancuhan kopi yang sudah tidak terminum kerana tekakku terasa terlalu sempit untuk menelan apa-apa sejak pagi tadi. Firasat yang tidak bernama sedang merayap-rayap di dalam kalbu, terasa seakan-akan cengkaman jari-jari sejuk yang perlahan-lahan menggenggam tulang rusukku dari dalam, mencari jalan masuk ke jantungku yang berdegup dengan terlalu kuat.
Panggilan telefon yang kuterima pagi tadi masih bergema di dalam kepala. Sebuah nombor yang asing, yang tidak pernah lagi terdaftar di dalam senarai nombor nombor telefon yang biasa aku berurusan. Panggilan itu datang dengan suara lelaki yang bernada rendah, kedengaran sangat berhati-hati, dan terasa sarat dengan beban yang tidak dapat dipastikan, namun ada.
"Jumpa aku petang ni. Old Town, Bangsar Village. Lima petang. Ada sesuatu yang kau perlu tahu tentang Tasik Temenggor."
Talian itu terputus sebelum aku sempat bertanya apa-apa, meninggalkan aku dengan seribu satu persoalan. Sebuah panggilan tanpa nama. Juga tanpa sebarang penjelasan. Yang ada hanyalah tetapan alamat dan masa, yang datang bersama satu perkataan yang membuatkan bulu roma berdiri:
Temenggor.
Aku menulis tentang cerita-cerita seram dan misteri, Malaysia. Aku mengumpul mitos. Aku mendokumentasikan legenda tempatan yang dilupakan oleh masa, tetapi tidak oleh manusia. Dan nama Temenggor bukanlah sekadar legenda. Ia adalah nama yang penuh dengan berbagai cerita. Penuh dengan segala bisikan. Padat dengan ribuan amaran. Ia adalah antara beberapa tempat yang orang-orang lama akan elakkan dengan sengaja, tempat yang tidak disebut dengan sepenuh nama dalam perbualan malam, seolah-olah menyebut namanya dengan kuat sahajapun akan mengundangnya untuk mendengar.
Pukul lima lewat tiga minit, pintu kaca kopitiam itu terbuka, ditolak dengan sedikit kasar dari luar. Terpaan angin terus menyerbu masuk, membawa bersamanya titisan hujan yang sejuk dan bau petrichor, dan juga bau tanah basah yang bercampur dengan bau asap kenderaan. Dua orang lelaki berbadan tegap melangkah masuk ke dalam, menguis titisan hujan yang melekat pada rambut dan baju mereka dengan pantas sebaik sahaja mereka berada dibawah bumbung yang melindungi mereka daripada hujan lebat di luar. Lelaki pertama, berusia sekitar pertengahan umur, mungkin 47 atau 48 tahun, rambut sudah mula beruban di pelipis, dengan wajah yang kelihatan keras tetapi memiliki sepasang mata yang letih, mata yang telah melihat terlalu banyak perkara yang sepatutnya tidak dilihat. Dia memakai kemeja lengan panjang berwarna biru gelap yang lengannya digulung hingga ke siku, bersama tali leher yang kelihatan sudah dilonggarkan ke bawah sedikit, isyarat jelas tentang seorang yang baru menyelesaikan harinya yang panjang tetapi masih belum dibenarkan untuk p**ang berehat. Di sebelahnya, seorang lelaki yang lebih muda, mungkin sekitar dalam akhir 20-an, dengan beg komputer riba hitam di bahu, berdiri tegak bersama pandangan tajam yang mengimbas setiap ruang kopitiam tersebut dengan teliti sebelum berhenti seketika pada setiap muka, setiap sudut, seperti orang yang terlatih untuk sentiasa berjaga-jaga.
Polis?
Mata lelaki yang lebih tua itu mencari-cari sebelum bertemu dengan pandangan mataku. Ada sesuatu menjelma dari dalam renungannya, pengiktirafan, mungkin. Atau penilaian. Dia mengangguk perlahan, mencongak sahsiah, memberikan pertanyaan tanpa bicara kepadaku. Dan sebagaimana setiap lelaki sejati yang memahami budi bahasa tanpa pertuturan itu, aku mengangkat cawan kopiku sedikit tinggi sebagai jawaban kepada soalannya.
Seketika kemudian, mereka berdua berjalan menghampiri mejaku. Kerusi kayu yang berat itu diseret dengan bunyi yang meletus-letus keadan menggerudi lantai jubin di bawah kaki. Kemudiannya mereka terus duduk tanpa sebarang senyuman. Tanpa berbasa-basi. Tanpa sebarang perkenalan untuk melembutkan ketegangan udara.
"Arasis?" Suara lelaki yang lebih tua itu keluar dengan nada yang rendah dan berbunyi sedikit serak, mengesahkan bahawa dia adalah pemilik suara yang menelefonku pagi tadi.
Aku mengangguk. "Saya."
Dia tidak memperkenalkan dirinya terlebih dahulu. Sebaliknya, tangannya mencapai poket kemeja, mengeluarkan sesuatu yang kelihatan seperti sebuah lencana polis yang menyala di bawah lampu kuning kopitiam. Tepat seperti mana yang aku jangkakan tadi.
"DSP Faiz. Ni Sarjan Amir." Lelaki muda di sebelahnya mengangguk ringkas, wajahnya kelihatan keras tanpa emosi dan penuh dengan aura profesional yang memungkinkan dia boleh diteka dengan lebih awal seperti tanggapan aku apabila aku melihatnya masuk ke kopitiam ini tadi.
Peluh resah mulai timbul di tapak tanganku walaupun angin sejuk dari penghawa dingin kopitiam itu tersembur dengan dengan begitu kuat sekali ditambah p**a dengan hujan lebat diluar.
Deputy Superintendent of Police.
Pangkat bukan calang-calang. Pastinya pertemuan petang ini bukan pertemuan sosial. Ini bukan lawatan mesra. Polis pangkat tinggi tidak duduk dalam kopitiam awam untuk bercerita santai.
Aku cuba untuk mengimbas memoriku, samada adakah ada terdapat mana mana karya-karyaku yang menyentuh sensitiviti masyarakat atau melanggar mana mana peraturan negara? Adakah terdapat dokumentasiku yang melampaui adab sopan dan tatasusila pegangan rukun negara?
Jika ada sekalipun, tetapi kenapa di kopitiam, bukannya di balai polis?
Bersambung ke Bahagian 2
Raja Lubuk Temenggor. Bukan fiksyen sepenuhnya.
Arasis Sรกng Penulis
KOMBO PUAKA
~Raja Lubuk Temenggor
~Spirit Spirit Of The Coin
30/04/2026 - 15/05/2026 SAHAJA
KLIK LINK INI UNTUK MEMILIKINYA
๐๐
linktr.ee/arasismagia